Ramai orang nak capai kebebasan kewangan, nak keluar daripada tekanan kerja 9–5, nak bebas hutang, nak hidup tanpa risau pasal gaji masuk lambat.
Tapi persoalan penting, apa rutin bulanan untuk sampai ke tahap tu? Apa tindakan kita? Apa yang kita kena beli, bagaimana corak perbelanjaan kita setiap bulan? Apa sebenarnya maksud “aset” yang boleh buat duit dan bantu kita keluar daripada sistem?
Aset Yang Buat Duit & Bantu Kita Keluar Dari Sistem
Ramai yang keliru antara aset dan liabiliti.
Aset
Aset ialah sesuatu yang tambah poket kita, sama ada sesuatu yang naik nilainya atau beri aliran duit masuk setiap bulan.
Liabiliti
Liabiliti pula sesuatu yang mengurangkan duit kita setiap bulan, walaupun nampak macam aset. Contoh paling biasa ialah kereta mewah yang bayarannya membebankan kita. Nampak macam aset sebab kita “ada harta”, tapi hakikatnya ia hanya bawa keluar duit dari poket setiap bulan.
Aset yang betul akan melindungi kita di masa depan, bukan menambah beban.
Mari kita tengok jenis-jenis aset yang betul-betul membantu kita bina kebebasan kewangan dan keluar daripada sistem.
1. Aset Fizikal Yang Mengekalkan Nilai
Aset fizikal, walaupun nampak kolot, tapi aset fizikallah asas kebebasan kewangan yang sebenar. Aset begini bukan sahaja melindung kita daripada inflasi, malah harta kita yang boleh dipegang dalam tangan sendiri dan boleh dijual bila-bila masa jika berlaku kecemasan.
Emas dan Perak Fizikal – Inilah simpanan paling asas. Emas tak bergantung kepada mana-mana matawang. Kalau Ringgit jatuh, harga emas biasanya naik. Sebab itu ramai penyimpan emas tegar konsisten beli setiap bulan walaupun harga naik turun. Dalam jangka panjang, emas jaga kuasa beli kita. Bila harga barang naik, emas pun naik. Inilah sebab kita kata emas ialah pelindung inflasi.
Tanah dan Lot Pertanian – Tanah tak boleh dicetak macam duit. Populasi manusia makin ramai, tanah pula makin terhad. Tanah yang dibeli hari ini hampir pasti naik nilai dalam 10-20 tahun akan datang. Kalau kita boleh usahakan – tanam sayur, ternak ayam, atau sewa kepada orang lain – ia jadi aset produktif.
Hartanah Sewa – Rumah atau kedai yang disewakan memberi kita pendapatan bulanan. Tapi hati-hati, jangan beli rumah yang ansurannya terlalu tinggi sampai cashflow kita negatif. Fokus beli hartanah yang mampu beri sewa lebih daripada ansuran. Kalau betul cara, kita dapat dua keuntungan: sewa bulanan dan kenaikan harga rumah dalam jangka masa panjang.
Jika kita perhatikan ketiga-tiga contoh aset fizikal ini, hanya emas dan perak sahaja yang kita boleh dapatkan dengan bajet yang minimum. Dengan kemudahan akaun emas GAP Public Gold, kita boleh simpan aset emas fizikal bermula RM100.
Artikel berkaitan;
Artikel berkaitan:
- Mudahnya Simpan Emas dengan Akaun Emas GAP
- 20 Soalan Lazim Akaun Emas GAP
- 11 Soalan Lazim Akaun Emas GAP Junior
- Apa itu GAP
2. Aset Yang Jana Pendapatan (Cashflow)
Aset paling “power” ialah aset yang boleh bagi duit masuk tanpa kita perlu kerja lebih masa. Kunci keluar dari sistem ialah cashflow positif.
Saham Dividen – Saham yang bagi dividen konsisten boleh jadi sumber pendapatan pasif. Contohnya saham syarikat utiliti, bank atau syarikat kukuh yang bayar dividen setiap tahun. Modal boleh kecil, tapi hasilnya konsisten.
Bisnes Kecil – Tak semestinya kena buka restoran besar. Kadang-kadang bisnes kecil macam jual kuih, servis freelance design, atau jadi agen dropship pun dah boleh tambah RM500–RM2000 sebulan. Kalau hasil bisnes ini kita salurkan ke simpanan emas atau bayar hutang, kita akan lebih cepat capai financial freedom dan time freedom.
Produk Digital – Zaman sekarang peluang buat duit terbuka luas. Kita boleh cipta ebook, kursus online, atau template yang orang lain sanggup beli. Siap sekali, jual berkali-kali. Ini antara aset paling scalable kerana ia tak perlukan modal besar atau kos simpanan stok.
3. Aset Yang Kurangkan Kos Hidup
Kita selalu fikir aset ialah benda yang buat duit masuk. Tapi ada aset yang buat kita jimat duit keluar. Ini adalah sama penting, sebab lagi rendah kos hidup kita, lagi cepat kita capai financial freedom dan time freedom.
Sistem Penjimatan Sendiri – Contohnya sistem solar kecil di rumah yang kurangkan bil elektrik. Penapis air yang jimatkan kos beli air botol. Kebun dapur yang kurangkan belanja sayur.
Kemahiran Masak, Baiki & Buat Sendiri – Ini mungkin kedengaran remeh, tapi kemahiran ialah aset paling berharga. Belajar masak kurangkan makan luar. Belajar baiki peralatan elak bayar servis mahal. Belajar berkebun kurangkan belanja dapur. Semua ini turunkan “burn rate” bulanan kita.
4. Aset Ilmu & Network
Aset yang menjana pendapatan bukan sahaja emas, tanah, atau saham tetapi juga ilmu dan siapa yang kita kenal. Network ialah networth.
Pesan mentor, jika kita berkawan dengan 5 orang jutawan, kita adalah jutawan yang keenam. Dalam hadis pun banyak menekankan tentang kepentingan circle. Contohnya bagaimana impaknya berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang besi.
Begitu juga dengan ilmu. Jika kita tahu apa yang orang berjaya tahu, buat apa yang orang berjaya buat, kita akan capai apa yang orang berjaya capai.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”-(Hadith Riwayat Muslim)
Dalam konteks kewangan, ilmu yang betul tentang pelaburan dan kewangan boleh selamatkan kita daripada kerugian besar. Ilmu juga bantu kita pilih aset yang betul. Kalau ada network yang baik seperti komuniti penyimpan emas, pelabur hartanah, atau usahawan, kita akan lebih mudah dapat peluang baru.
Elak Pseudo-Aset
Bila nak keluar daripada sistem, kita kena elakkan beli barang-barang yang nampak macam aset tapi sebenarnya adalah liabiliti.
Kereta mewah yang bayaran bulanannya makan separuh gaji bukan aset. Telefon mahal yang dibeli secara hutang hanya menambah beban. Rumah yang terlalu besar sehingga sewa tak cukup bayar ansuran hanya tambah risiko kewangan. Barang koleksi yang susah nak jual pula hanya jadi beban, bukan pelaburan.
Ukur Kekayaan Dalam Makna Kebebasan, Bukan Ringgit
Bila kita mula beli aset yang betul, kita mula nampak perubahan. Kita kurang risau tentang gaji yang masuk. Kita kurang terkesan bila harga barang naik. Kita boleh pilih kerja yang kita suka, bukan kerja yang kita terpaksa.
Kekayaan sebenar bukan berapa banyak RM dalam akaun, tapi berapa lama kita boleh hidup tanpa gaji, tanpa perlu jual masa untuk dapat duit.
Bila kita ada emas, aset fizikal, cashflow, kemahiran dan network, barulah kita betul-betul bebas daripada sistem.
Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 9:
“Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
Ayat ini mengingatkan kita supaya kita tidak tinggalkan generasi yang lemah termasuk lemah dari sudut kewangan. Membina aset yang betul bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk masa depan anak-anak dan keluarga.
Nak keluar daripada sistem bukan kerja sehari dua. Jika kita konsisten tukar gaji kepada aset setiap bulan, tambah ilmu, dan bina cashflow, inshaAllah dalam beberapa tahun kita akan capai kebebasan kewangan. Dan masa itu, kita boleh pilih cara hidup yang lebih tenang, lebih bermakna, dan lebih dekat dengan Allah.
Ainin
Kerteh Terengganu
27 September
4 Rabiulakhir 1447H