- Etika Dalam Dunia Emas: Kami Tak Diajar Kejar Untung Cepat
- Islam Menuntut Kejujuran Dalam Bisnes
- Ar-Rahnu: Alat, Bukan Strategi Pelaburan
- Kenapa Teknik Gadai & Beli Emas Baru Tak Sesuai Untuk Orang Baru
- Cara Betul Bila Harga Emas Naik: Konsisten, Bukan Spekulasi
- Emas Bukan Untuk Cepat Kaya, Tapi Untuk Kekal Kaya
- Bisnes Berkat Bila Tak Kejar Untung Sendiri
- Kaya sebab Ilmu Emas, bukan Sebab Emas.
Beberapa hari lepas, Ainin terima satu mesej WhatsApp daripada seorang penyimpan emas Ainin. Soalannya:
“Hari ni emas makin naik, patutkah saya gadaikan gold bar saya ke ar-rahnu, kemudian saya beli lagi emas baru? Boleh juga saya belikan gold bar 1g banyak keping.”
Ainin balas,
“Kami tak diajar begitu.”
Jika di luar sana diajar bermacam-macam teknik untuk untung dengan emas termasuklah teknik arrahnu, tapi jika kita nilai dengan ilmu yang benar, ia sebenarnya teknik songsang yang akan memakan diri.
Pertanyaan macam ni sebenarnya sangat biasa. Lebih-lebih lagi bila harga emas tengah naik. Ramai mula fikir, kalau guna teknik gadai di ar-rahnu dan beli lagi emas, mungkin boleh gandakan keuntungan.
Etika Dalam Dunia Emas: Kami Tak Diajar Kejar Untung Cepat
Dalam bisnes emas Public Gold, ada satu prinsip penting yang kami pegang. Kejujuran adalah lebih utama daripada keuntungan sendiri. Berkata benar walaupun pahit
Dalam team G100 yang dipimpin oleh mentor kami Tuan Mohd Zulkifli Shafie,
kami bukan sekadar belajar cara simpan emas, tapi kami juga belajar adab dan etika dalam urus rezeki.
Kalau kita cuma fikir nak untung untuk diri sendiri, memang senang untuk terus jawab “ya”. Lagi ramai penyimpan emas pajak dan buat belian emas baru, lagi lebih banyak komisyen yang diperolehi, bukan?
Tapi, itu bukan cara kami dibimbing.
Sebab kalau kita betul-betul faham prinsip simpanan emas, kita tahu bahawa gadai emas (ar-rahnu) bukan jalan pintas untuk kaya. Ia cuma alat sementara untuk kecemasan.
Kalau ia jalan pintas untuk kaya, pastilah bank atau orang kaya sudah lama buat! Merekalah orang pertama yang akan buat!
Islam Menuntut Kejujuran Dalam Bisnes
Dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1–3, Allah berfirman:
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang, (iaitu) mereka yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dipenuhi, tetapi apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangkan.”
Ayat ini mengingatkan kita tentang peringatan Allah tentang kejujuran dalam apa juga urusan jual beli, termasuk urusan emas.
Bila pelanggan datang bertanya dengan niat nak belajar, kita wajib beri pandangan yang benar, bukan ambil kesempatan.
Berkata benar, walaupun pahit. Walaupun tiada keuntungan segera untuk kita.
Itulah beza antara penjual emas dan pendidik emas.
Ar-Rahnu: Alat, Bukan Strategi Pelaburan
Ramai orang salah faham bila dengar istilah ar-rahnu.
Sebenarnya, ar-rahnu adalah kemudahan gadaian patuh syariah yang diwujudkan untuk membantu mereka yang terdesak dan perlukan tunai segera, bukan sebagai strategi pelaburan.
Bila kita gadai emas, hakikatnya:
- Kita serahkan emas kepada pihak ar-rahnu sebagai cagaran.
- Kita terima pinjaman tunai sementara (biasanya 70–80% daripada nilai emas).
- Kemudian, kita wajib tebus semula emas tersebut dengan bayaran balik + caj upah simpan (caj ar-rahnu).
Jadi, kalau seseorang gadaikan emas semata-mata untuk beli emas baru, dia bukan tambah simpanan, dia sebenarnya berhutang!
Kita perlu tebus emas yang dipajak, ditambah pula dengan upah simpan!
Kenapa Teknik Gadai & Beli Emas Baru Tak Sesuai Untuk Orang Baru
Sekilas pandang, strategi ini nampak cerdik.
Kononnya kita boleh gandakan emas tanpa modal tambahan.
Tapi realitinya, strategi ini hanya sesuai untuk mereka yang sangat mahir dan berpengalaman dalam turun naik harga emas. Bukan untuk orang yang baru mula simpan.
Kenapa?
- Ada kos tersembunyi. Setiap kali gadai, akan ada caj ar-rahnu. Bila beli emas baru, ada pula spread (perbezaan harga jual dan beli). Kedua-dua ni boleh makan keuntungan kita tanpa sedar.
- Perlu tebus semula. Emas yang digadaikan bukan lagi milik kita. Kalau kita gagal tebus, emas itu boleh dilelong. Akhirnya, emas yang kita simpan selama ini boleh hilang terus.
- Tekanan tunai. Ramai yang kononnya nak gandakan emas, tapi akhirnya tersepit sebab perlu cari duit untuk tebus balik. Bila tak cukup tunai, emas dilepaskan dengan rugi.
Dalam dunia kewangan, konsep ini digelar leverage tanpa kawalan.
Nampak untung, tapi sebenarnya tunggu masa sahaja untuk terjerat!
Cara Betul Bila Harga Emas Naik: Konsisten, Bukan Spekulasi
Bila harga emas naik, ramai yang jadi ‘gatal tangan’.
Rasa macam kena buat sesuatu cepat-cepat. Beli lagi, jual, atau gadai.
Padahal, kalau ikut ilmu emas yang diajar oleh guru kami, tindakan terbaik ketika harga emas naik ialah terus sahaja konsisten menabung emas, bukan kejar turun naik harga.
Beli emas mengikut kemampuan. Tidak perlu tamak. Orang tamak selalu rugi.
Dalam jangka panjang, nilai emas tetap naik, walaupun ada turun naik kecil jangka pendek.
Sebab itu, orang bijak tak tunggu harga turun baru nak beli. Mereka beli secara konsisten, setiap bulan, sedikit demi sedikit.
Ya, sangat membosankan.
Rutin untuk jadi kaya sebenarnya sangat membosankan, bak kata orang-orang kaya dunia seperti Warren Buffet.
Emas Bukan Untuk Cepat Kaya, Tapi Untuk Kekal Kaya
Fungsi sebenar emas bukan untuk menggandakan duit dalam sekelip mata, tapi untuk memelihara nilai harta.
Bila duit kertas makin susut nilainya disebabkan inflasi, emas tetap kekal bernilai.
Satu dinar zaman Rasulullah boleh beli seekor kambing.
Hari ini pun, satu dinar masih boleh beli seekor kambing.
Itulah bukti emas memelihara kuasa beli selama beribu tahun.
Bisnes Berkat Bila Tak Kejar Untung Sendiri
Dalam dunia bisnes emas Public Gold, kita diajar sesuatu yang mahal nilainya, berkata benar walaupun tiada keuntungan di pihak kita.
Kalau penyimpan emas datang dengan soalan seperti di atas, kita boleh saja jawab “ya” untuk cepatkan dan banyakkan jualan. Tapi kalau kita benar-benar mahu bimbing mereka ke arah kewangan yang sihat, kita perlu jelaskan risikonya.
Bila kita bantu penyimpan emas buat keputusan dengan ilmu berbanding emosi, rezeki kita tetap datang.
Lebih penting, datang dengan berkat.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 188, Allah berfirman:
“Dan janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah, dan (janganlah kamu) menghulurkan harta itu kepada hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta orang lain dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui.”
Ayat ini jelas keuntungan yang datang daripada jalan yang salah, walau sedikit, tetap tidak berkat.
Jika rezeki kita, ianya tetap rezeki kita.
Kaya sebab Ilmu Emas, bukan Sebab Emas.
Guru Ainin selalu ulang,
“yang menjadikan kita kaya bukanlah emas, tetapi ilmu tentang emas”. Begitu juga dengan portfolio kewangan lain seperti hartanah, cryptocurrency atau bisnes.
Memiliki emas, hartanah atau aset lain belum menjanjikan kita kaya, melainkan ilmu tentang harta tersebut.
Jika kita tahu ilmu selok belok untung dengan emas, maka kita boleh kaya dengan emas. Begitu juga dengan teknik arrahnu ini.
Memang ada orang boleh untung dengan teknik arrahnu emas, lebih-lebih lagi ketika harga emas dalam trend meningkat naik.
Bila harga turun sahaja, teknik ini mula menjerat mereka kembali. Perlu faham, harga emas naik dan turun dalam jangka masa pendek. Dalam masa yang sama, caj arrahnu perlu diselesaikan juga.
Jika ada ilmu, kita boleh ambil peluang. Ini kerana kita tahu bila masanya kita boleh ‘exit’. Tetapi, jika kita tidak mahir, kita perlu mengelak teknik ini dengan sedaya upaya kita.
Mahukan untung tetapi yang dapat rugi bertimpa-timpa. Nauzubillah.
Apabila kita bertanya, itu sebenarnya maksud dan tanda kita tidak mahir tentang perkara tersebut. Jadi, lebih baik elakkan. Lebih baik kita tidak perlu buat sama sekali.
Sebab orang yang betul-betul faham tentang emas, tahu bila masa sesuai untuk kita manfaatkan ar-rahnu dan tahu bila masa untuk biarkan emas duduk diam dalam simpanan.
Kadang-kadang, tidak buat apa-apa pun adalah keputusan terbaik.
Simpan emas dengan tenang.
Tunggu masa, biar emas bekerja secara senyap.
Itulah strategi sebenar penyimpan emas bijak.

